Wednesday, May 19, 2021

MELAYU LANYAK ORANG ASLI

 

proto Malays

Melayu 

bodoh memerintah

kaki samun

kamikup



TANAH ADAT SUKU SEMELAI DIAMBIL UNTUK PEMBANGUNAN

SUKU Semelai di Bera dan Temerloh di Pahang diarahkan keluar dari tanah adat mereka bagi memberi jalan kepada rancangan penempatan berkelompok oleh kerajaan negeri.

Ini adalah kemuncak perjuangan selama 18 tahun oleh suku Orang Asli itu untuk mempertahankan tanah adat mereka. 

Namun mereka tidak mudah berputus asa dengan membuat rayuan kepada kerajaan negeri dan jika gagal mereka akan mempertimbangkan tindakan mahkamah.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas berkata suku Orang Asli itu diarahkan keluar bagi memberi jalan kepada peserta dalam rancangan penempatan kelompok yang digelar Rancangan Tanah Berkelompok (RTK) Jelam.

“Pencerobohan terbaharu dikaitkan dengan rancangan untuk membangunkan RTK Jelam yang akan terdiri daripada orang Melayu dari Kampung Jeram dan Kampung Durian Tawar di daerah Temerloh.

“Suku Semelai mendakwa mereka menduduki tanah itu sebelum 1948. Tetapi seperti yang berlaku di kebanyakan bahagian di dua daerah itu, kawasan itu dianggap sebagai Rizab Melayu,” kata Nicholas.

Kedua-dua kampung tersebut, Kampung Paya Badak dan Kampung Paya Berangan terletak di sempadan daerah Temerloh dan Bera, dengan semua kawasan Paya Berangan berada dalam daerah Bera.

Kedua-dua kampung ini terletak berhampiran jalan utama dan boleh dimasuki dengan kereta. Ia adalah kediaman bagi 200 penduduk kampung dan mempunyai sambungan elektrik tetapi tiada bekalan air bersih.

Sari Sapar, ketua suku (jurekerah) dua kampung itu berkata Orang Asli berjuang untuk tanah adat mereka sejak 2003.

Mereka meminta kerajaan negeri dan jabatan Orang Asli membantu mereka mendapatkan pengiktirafan tanah mereka, namun dalam 18 tahun terakhir tiada yang membantu.

Kini penduduk kampung diminta mengosongkan tanah adat mereka yang telah menjadi rumah mereka sejak beberapa dekad dan mereka kini tiada tempat lain untuk pergi.

“Mereka minta kami pindah dari tanah ini tetapi ke mana kami patut pergi?

“Kami pertama kali duduk di tanah ini pada tahun 1948, sebelum merdeka. Kami sudah tinggal lama di sini.

“Kebun kami ada di sini, kami sudah tanam pokok getah, buat rumah dan juga kubur nenek moyang kami di tanah ini,” katanya.

Sari berkata, penduduk kampung sekarang diancam oleh beberapa individu kerana mereka enggan mengosongkan tanah tersebut.

Kejadian terbaru berlaku pada 12 Mei ketika individu yang tidak dikenali menceroboh tanah mereka dan membakar rumah milik seorang penduduk kampung.

“Kami tidak tahu siapa yang datang dan bakar rumah. Kami tak nampak sesiapa itu jadi kami tak mahu tuding jari kepada siapa pun,” kata Sari.

Sari berkata, pemilik rumahyang dibakar itu telah membuat laporan polis.

Beliau juga mengingat kembali kejadian di mana seorang individu yang mengaku sebagai polis menakut-nakutkan seorang warga emas.

“Orang ini datang dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis, tetapi kami tidak pasti. Dia beritahu penduduk kampung mereka akan ambil tanah itu selepas Hari Raya.

“Penduduk kampung itu orang tua, jadi dia tak tanya banyak macam, dari balai polis mana lelaki itu,” katanya.

Sari berkata beliau mengirim surat kepada pejabat tanah dan daerah Bera pada 31 November 2015, memberitahu mereka tentang pencerobohan di tanah mereka, namun tiada sebarang tindakan susulan.

Dalam suratnya, Sari berkata suku Semelai adalah pemilik sah tanah seluas 116 ekar itu, tetapi belum diwartakan oleh kerajaan negeri.

Pejabat tanah, dalam jawapan pada 3 Februari 2016 kepada Jabatan Orang Asli (Jakoa), berkata 104 ekar tanah adat Orang Asli diperuntukkan untuk RTK Jelam.

Tanah tersebut dibahagi antara 158 individu dengan 12 ekar RTK Jelam yang memakan kawasan di mana rumah dan kubur Orang Asli berada.


Tindakan undang-undang sebagai jalan terakhir

Tanpa bantuan dari pejabat tanah atau Jakoa, Sari memutuskan untuk menulis memorandum kepada Senator Manolan Mohamad daripada PKR untuk mendapatkan pertolongannya.

Manolan yang juga berasal dari suku Semelai telah mengunjungi penduduk kampung pada 22 Februari tahun ini.

“Mereka telah mengadu kepada Jakoa, ke pejabat menteri besar malah mereka telah membuat laporan polis tentang pencerobohan di tanah adat mereka tetapi tidak ada tindakan yang diambil,” kata Manolan kepada The Malaysian Insight.

Manolan berkata tanah adat Semelai cukup berharga kerana jambatan yang dibina bagi menghubungkan Bera dan Temerloh.

“Mereka membina jambatan untuk menyeberangi sungai Pahang dan menghubungkan Bera dan Temerloh. Bahagian jambatan di Bera dihubungkan dengan tanah Orang Asli. Oleh itu, ia cukup berharga,” katanya.

Sari dan penduduk kampung telah mengirim memorandum bertarikh 27 Februari 2021, meminta bantuan Manolan secara rasmi, selain menambah mereka menentang keras pencerobohan tanah adat mereka.

Sari berkata, individu yang tidak dikenali itu telah menceroboh tanah adat mereka dan menanam batu sempadan (batu geran) dan menebang pokok getah mereka.

“Kami kecewa dengan tindakan ini. Tindakan sewajarnya harus diambil terhadap individu-individu ini.

“Saya harap anda juga dapat tolong kami membuang dan menghentikan penempatan batu sempadan di tanah nenek moyang kami. Kami juga harap rancangan penyelesaian tanah kelompok disiasat,” tulis Sari dalam memorandumnya kepada Manolan.

Manolan juga mengulas laporan intimidasi yang didakwa Sari, berkata individu itu memasang mercun dan bermacam lagi untuk menakut-nakutkan penduduk kampung.

Ada juga individu yang berhadapan dengan penduduk kampung dan menganiaya mereka secara lisan, katanya.

Manolan berkata beliau menasihati penduduk kampung menulis surat kepada menteri besar sekali lagi untuk merayu bagi kes mereka. Jika tidak, penduduk kampung akan mempertimbangkan tindakan undang-undang.

“Mereka nak ambil tindakan undang-undang tetapi kami sedang melihat adakah kami boleh selesaikan dahulu dengan kerajaan negeri.

“Saya meminta mereka untuk membentuk sebuah jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung dan mengirim surat kepada menteri besar.

“Sementara itu kami sedang mengumpulkan semua bukti untuk menunjukkan ini sebenarnya tanah adat mereka. Mereka ada bukti kukuh,” tambah Manolan. – 19 Mei, 2021.

No comments:

Post a Comment