"4. Tidak juga ada respon berkenaan dengan tuduhan terhadap 1MDB. Yang membuat tandatanya bukan kenaikan harga elektrik kerana pembelian stesyen janakuasa, tetapi kerana harga belian yang amat tinggi, dibayar dengan duit hutang yang bunganya tertinggi yang pernah dikenakan kepada Kerajaan dan komisyen kepada Goldman Sachs sampai 11%.
5. Kenapa pula pelaburan dibuat di Cayman Islands atau wang disimpan di sana?
6. Cayman Islands adalah pusat operasi Hedge Fund dan dagangan matawang. Sementara orang atau syarikat biasa gemar melabur dalam Hedge Fund dengan pulangan yang tinggi, Kerajaan biasanya tidak melabur dalam Hedge Fund kerana ia adalah satu jenis judi.
7. Dahulu pun Kerajaan Malaysia biasa dilamar untuk melabur dalam Hedge Fund dengan garanti pulangan 30%. Tetapi ia ditolak.
8. Harus diingat satu dari Hedge Fund yang terbesar, LTCM (Long Term Credit Management) rugi besar dan mengheret bank dan pelabur ke arah muflis. Ia diselamat oleh pelabur yang terdiri dari Wall Street dan Kerajaan U.S.
9. Berjudi bukan cara Kerajaan mencari dana, samada secara langsung atau tidak langsung.
10. Yang lain yang tidak disentuh yang menjadi keluhan rakyat ialah sistem pelajaran yang memisahkan miskin dengan kaya. Yang kaya pergi ke sekolah Inggeris, mendapat ilmu-ilmu yang penting dan mudah mendapat kerja. Yang miskin ke sekolah Kebangsaan, dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang rendah dan ketinggalan dalam bidang sains dan ilmu matematik tinggi. Mereka tidak mudah mendapat kerja dengan upah yang tinggi.
11. Dengan ini jarak antara miskin dengan kaya akan menjadi lebih luas.
12. Benar mempermudahkan kelulusan peperiksaan popular, disukai ramai. Tetapi yang disukai ramai kerapkali tidak baik bagi mereka. Pepatah Melayu berkata “menang sorak, kampong tergadai”.
13. Amat malanglah jika populariti lebih diutamakan dari nasib buruk anak rakyat yang terpaksa terima dasar yang tidak baik bagi mereka. Mereka menjadi mangsa, tidak anak orang kaya.
14. Dan banyaklah lagi yang tidak dibincang dan disebut dalam mesyuarat Agung UMNO."
No comments:
Post a Comment